Tuesday, June 10, 2008

Krisis negara kita bukan harga minyak tetapi pengetahuan

Keadaan Malaysia sekarang yang tidak menentu menjadikan negara kita sekarang menghadapi risiko ekonomi yang amat tinggi. Semenjak tahun lalu, apabila puak Hindraf cuba menghuru-harakan keadaan disebabkan ketidakpuashatian terhadap cara kerajaan melayani kaum India di negara kita. Seterusnya dibelenggu dengan isu kehakiman negara yang termunculnya keraguan apabila dicungkil oleh beberapa pihak. Disambung pula dengan perubahan pentadbiran akibat daripada pilihanraya yang menyebabkan BN kalah 5 negeri dan wilayah persekutuan. Dalam pada itu pula berlaku masalah pemilihan Menteri Besar di beberapa negeri sehingga membangkitkan kaum-kaum Di-Raja yang juga tidak melepaskan peluang dalam menegakkan keadilan. Sementara dunia menghadapi krisis kekurangan makanan yang juga sedikit sebanyak mempengaruhi negara kita, didatangi pula kenaikan harga minyak dunia yang memang menyakiti majoriti penduduk dunia, menyebabkan kenaikan harga barangan yang begitu mendadak sekali sekaligus mencacatkan keseluruhan ekonomi negara kita. Tetapi cedera ini belum betul-betul dirasai kerana banyak industri masih cuba dengan pelbagai cara untuk memastikan masing-masing terselamat daripada keadaan yang kritikal ini. Lazimnya tidak banyak industri yang akan terselamat dari bencana ini, kerana terlalu banyak faktor negatif yang tidak menyebelahi ekonomi Malaysia. Para pelabur yang kurang yakin dengan pentadbiran negara, akan cuba mencari jalan keluar atau pendek kata mereka cuba menyelamatkan wang dengan membawanya ke negara yang lebih kukuh dan stabil ekonominya. Pelabur tempatan juga tidak terkecuali, kita boleh dapati sekarang banyak syarikat-syarikat besar mula membuka kilang atau perniagaan di negara eropah yang akan menjadi laluan utama untuk mengeluarkan atau menyalurkan wang dalam negara ke tempat yang lebih selamat baginya. Memang ini tidak boleh dihentikan kerana wang-wang ini adalah milik pelabur dan mereka berhak berbuat apa sahaja dengan wang pelaburan mereka itu. Seterusnya akan menyebabkan ringgit semakin lemah dan inflasi semakin bermaharajalela. Yang menjadi mangsa ialah rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan ke bawah. Sebaliknya keadaan sebegini akan membuka peluang kepada golongan yang sangat berada, apabila rakyat biasa sedang dibelenggu krisis kewangan, mereka yang memiliki harta yang tak seberapa terpaksa menjual dengan harga yang amat rendah disebabkan inflasi yang tinggi dan permintaan yang rendah (kerana ramai lagi yang nak jual harta untuk membayar hutang), golongan kaya ini pula akan cuba menekan harga jualan daripada penjual serendah yang mungkin, sekaligus menjadikan mereka pemilik harta yang tinggi nilainya tetapi rendah harganya. Kita tidak boleh mengawal keadaan ini kerana ini adalah salah orang yang menjual sendiri, yang tidak menjangka keadaan seburuk ini akan berlaku. Orang kaya pula sebaliknya sentiasa menjangka keadaan yang buruk akan berlaku, menyebabkan mereka berwaspada menguruskan kewangan mereka serta berusaha membuat simpanan sebanyak yang mungkin ketika rakyat biasa sedang terbuai dalam kemewahan dan kesenangan sehingga lupa diri. Inilah masalah yang sedang berlaku, rakyat Malaysia masih mentah tentang pengurusan kewangan. Pengetahuan tentang pengurusan risiko juga amat penting bagi rakyat kerana sering tertipu oleh golongan yang bijak mencari peluang untuk mengaut keuntungan. Kelemahan ini harus ditangani secepat mungkin. Rakyat Malaysia seperti berada dalam air yang sedang dimasak, mereka berasa selesa berada di dalam air suam yang semakin panas dan tidak sanggup keluar, sehingga air tersebut mendidih, tiada lagi esok lusa bagimu. Kita rakyat Malaysia dahagakan pengetahuan, kita ingin mentaliti anak-anak kita agar seperingkat dengan mentaliti rakyat negara maju. Biar rakyat belajar berdikari, biar rakyat tahu tentang hak asasi mereka, biar rakyat bebas belajar dan berfikir, biar kita semua menjadi lebih berani, biar kita bangkit dari keselesaan yang tidak kekal dan bangun dari fantasi. Rakyat perlu melihat dari sudut realiti dan berusaha sendiri. Apabila rakyat mempunyai kesedaran, negara kita akan bersih dari gejala negatif. Yang penting rakyat akan lebih bijak memilih peneraju pentadbiran yang akan menjadi wira untuk rakyat. Tiada lagi masalah tiadanya pemimpin negara yang boleh diharap. Seperti yang berlaku di dalam negara kita sekarang, rakyat kehilangan pemimpin, pilih pentadbir pun tidak betul, pilih pembangkang pun ragu-ragu, ada yang membuat keputusan untuk tidak memilih. Bukan sahaja rakyat biasa yang kurang pengetahuan, begitu juga dengan pemimpin kita.

No comments: