Friday, May 23, 2008

Politik Kosong

Huru-hara yang sedang berlaku di dalam politik negara kian keruh. Dalam keadaan yang keruh sebegini menyebabkan ramai yang samar penglihatan, tak nampak masa depan, dan terpaksa keluar dari parti. Di dalam dewan parlimen pula isu politik menjadi raja. Bagaimana pula dengan rakyat jelata? Ekonomi semakin tidak seimbang, harga minyak yang melambung setinggi matahari menggegarkan ekonomi dunia yang berasaskan matawang Dolar Amerika. Keadaan semakin rumit apabila berlaku pula krisis makanan yang secara langsung melumpuhkan permintaan dunia. Pesan perdana menteri Thailand agar rakyat Thailand kurang makan nasi, bolehkah rakyat beliau melakukannya? Adakah beliau sendiri kurang makan nasi? Memang beliau kurang makan nasi kerana beliau mampu makan makanan barat yang berasaskan roti dan daging, ataupun makanan jepun yang mahal.
Kembali kepada kisah politik, apakah peranan ahli-ahli politik yang dipilih oleh rakyat? Adakah rakyat memilih mereka ini untuk berpolitik? Atau pun untuk menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat? Kemiskinan, kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh harga minyak dan kekurangan bekalan makanan, jenayah, hak asasi rakyat, pendidikan, infrastuktur... siapakah yang akan membela rakyat sekiranya semua wakil rakyat sibuk berbalah sesama sendiri, menuduh sesama sendiri, masuk parti keluar parti, tak habis-habis isu kekalahan dan kemenangan pilihanraya yang sudah berkarat, itu pula yang disibuk-sibukkan. Memang patut rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan yang para pentadbirnya begitu gila kuasa, begitu ego, begitu sibuk dengan kerusi masing-masing. Memang patut rakyat berpaling arah memberi peluang kepada yang lain, tetapi adakah pembangkang yang dipilih itu betul-betul memperkasakan rakyat seperti yang dijanji-janjikan? Politik yang mendefinasikan pelbagai makna nampaknya masih tebal kesahihannya. Ada yang menggesa dan mendesak supaya perdana menteri ditukar, perdana menteri pula sibuk mempertahankan kedudukan, begitu meriah sekali pentadbiran di negara kita, inikah kerja yang ditugaskan wakil rakyat yang bergaji basar? Rakyat jelata bertungkus-lumus menyediakan kemewahan kepada wakil-wakil rakyat agar mendirikan sebuah negara yang kemiskinan sifar, sebaliknya kemiskinan semakin menebal. Titik peluh rakyat bertukar menjadi air mata, dan air mata rakyat bertukar menjadi matawang wakil rakyat.
Wang ehsan Terengganu sudah separuh dibaham. Beginikah cara rakyat dilayan? Sekiranya ini diteruskan, negara kita sememangnya akan diakhiri dengan noktah muflis. Rakyat harus berani bangkit dari penindasan ini, jangan berpeluk tubuh berdiam diri. Ini semua hak kita, sedarlah. Jangan kerana kita tidak sukakan politik hari ini maka tidak berbuat apa-apa, hak kita sedang dirampas.
Pentadbiran kerajaan seharusnya lusinar, para pentadbir tiada hak untuk menyorok maklumat daripada pengetahuan rakyat kerana rakyat ialah tuan di negara demokrasi. Pentadbir hanya dipilih dan diupah untuk mengendalikan kerja-kerja pentadbiran serta menyumbang kepada rakyat.