Thursday, March 19, 2009

Pentadbiran Baru

Pakatan Rakyat sudah semakin menghampiri Putrajaya. Barisan Nasional pula masih tidak dapat menyesuaikan diri dalam keadaan sebegini. Umno sedang bergolak, parti-parti komponen BN pula semakin lemah, tidak biasa dengan situasi di mana sokongan tidak menyebelahi mereka. Hilangnya arah tuju dan hanya mengharapkan supaya keajaiban berlaku.

Barisan Nasional tidak arif dalam menyerang parti lawan kerana mereka biasanya diserang dan hanya pandai berlindung dan berselindung(menyembunyi kesalahan diri). Parti Pakatan Rakyat pula memang hebat mencari salah dan menyerang Barisan Nasional. Ada sahaja salah yang dibuat oleh wakil-wakil dari BN. Sehingga kini, apabila PR semakin dekat dengan kemenangan, sudah 5 negeri telah ditakluk oleh Pakatan Rakyat, sikap mereka masih tidak ubah seperti pembangkang yang hanya pandai membangkang. Adakah mereka mampu mentadbir? Adakah mereka sudah bersedia untuk mengambil alih barisan karbinet pentadbiran negara? Apakah perancangan PR apabila bergelar kerajaan persekutuan? Dari gabungan tiga parti yang berbeza arah tuju dan pendirian. Dapatkah mereka bersatu seperti parti-parti komponen BN? Parti-parti komponen BN memang sudah tidak menjadi pilihan rakyat yang selama ini rasa diri tertipu, tetapi BN tetap bersatu. Memang tidak dapat dinafikan bahawa BN dijangka akan kecundang pada pilihanraya yang akan datang, tetapi rakyat masih was-was dengan pentadbiran Pakatan Rakyat. Rakyat telah nampak negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS selama ini tidak membawa pembangunan, kemiskinan yang tinggi, perancangan ekonomi yang lemah, tidak dapat mengurus sumber yang ada seperti tanah rata yang luas, paya dan kolam banyak terbiar, pinggiran pantai Laut Cina Selatan, sempadan antarabangsa, bilangan penduduk yang ramai. Tetapi ianya semakin mundur. Bagaimana pula dengan negeri-negeri lain yang juga ditadbir oleh PR? Ini adalah kerana tokoh-tokoh PR hanya dilatih untuk mencari salah pihak lawan tetapi tidak dilatih untuk mentadbir. Memang harapan PR adalah Anwar Ibrahim, tetapi bagaimana jika tiadanya Anwar Ibrahim?

Tokoh-tokoh BN yang dikatakan kuat rasuah memang harus melalui penderitaan kali ini. Mereka bukan sahaja akan kehilangan kuasa malah akan dikoreknya kesalahan yang dilakukan selama ini. Karma sedang menanti. PR yang bakal mengambil alih pentadbiran harus tumpukan sepenuh daya dan usaha dalam pentadbiran negara dengan cekap kerana nasib jutaan rakyat bergantung keatas keadilan yang dijanjikan selama ini. Mungkin pada PRU yang akan datang, PR akan mengambil alih pentadbiran sebuah negara yang sudah bankrup. Jadi kecekapan mentadbir dan mengurus adalah sangat penting dan kita harus berhenti berpolitik cara mengumpat dan mengata orang. Sesiapa sahaja boleh mengumpat tetapi tidak ramai yang mampu mengurus dengan bijak.

Bersedialah Pakatan Rakyat dengan perancangan yang teliti dan bernas untuk memulihkan negara kita yang sudah nazak. Bangunkan minda rakyat yang selama ini tidak mampu berfikir. Tunjukkan ketelusan dan kebijaksanaan pentadbiran negara agar para cendikiawan dan profesional yang telah dan sedang berjasa di negara orang, kembali berbakti kepada anak-anak di negara sendiri. Pentingkan juga generasi pelapis yang bakal mengganti pentadbiran negara. Berikan ilmu yang betul dan tunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Kita boleh menjadikan mereka bodoh supaya kedudukan kita tidak akan dipersoal, tetapi apa gunanya jika kita hanya pandai menipu yang bodoh? Adakah kita sanggup menjadi pandai di kalangan yang bodoh, atau bodoh di kalangan yang pandai? Apa yang rakyat perlukan adalah keyakinan dan keberanian. Berikanlah keyakinan dan keberanian kepada rakyat dan kita semua tidak lagi memperlekehkan 'Malaysia Boleh' seperti apa yang berlaku sekarang.

Musuh kita bukan pembangkang atau pentadbir. Musuh kita hanya satu iaitu kemiskinan. Kerana kemiskinan orang melanggar undang-undang dan moral. Kita hanya boleh menghapuskan kemiskinan dengan ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan rakyat mampu membangunkan diri-sendiri dan juga negara. Dengan ilmu pengetahuan rakyat akan merdeka. Merdeka bukan sahaja dalam segi kewangan, tetapi juga pemikiran. Inilah kemerdekaan yang rakyat idamkan.