Friday, October 30, 2009

Perpaduan Dan Realiti

Sememangnya perpaduan tidak akan wujud 1000% sekiranya hendak mengikut kata-kata rakyat yang berbilang kaum, berbilang agama, berbilang darjat, berbilang-bilang pandangan… Kita semua datangnya daripada pelbagai latar belakang, akan tetapi kita harus mempunyai hala tuju, cita-cita dan visi negara yang sama. Kita tidak boleh mengikut kehendak setiap orang untuk memperkasakan latar belakang atau budaya masing-masing dan membelakangi cita-cita negara, iaitu perpaduan.

Saya sendiri bekas pelajar sekolah aliran cina, dan memang mengakui ada nilai-nilai yang amat berguna dan tidak terdapat di mana-mana aliran kerana tamadun China yang telah melebihi 500 tahun. Kita juga dapat melihat ramai anak-anak bukan dari keturunan cina juga dihantar ke sekolah beraliran cina kerana ibu bapa yang prihatin dan sanggup mengorbankan latar belakang yang disayangi, agar anak-anak mereka juga dapat menimba ilmu yang telah lama tamadunnya. Tetapi apa yang kita dapat telah menjadi sebaliknya. Ramai kaum cina yang terlalu bangga dan angkuh dengan budaya dan tamadun nenek moyang mereka, mereka tidak belajar ilmu kaum lain, sebaliknya ilmu mereka sedang dibelajar dan diamalkan oleh kaum lain. Budak Melayu atau India yang bersekolah cina boleh menulis dan bertutur dalam bahasa cina dengan baik, pada masa yang sama tidak pernah kalah dalam bahasa ibunda masing-masing. Kaum cina pula yang kononnya memiliki nenek moyang yang hebat, hanya berjaya menguasai bahasa ibunda tetapi tidak pula bahasa tanah air di mana darah tertumpah. Tidak pelik sekiranya generasi tua kaum cina tidak petah berbahasa kebangsaan, tetapi ianya berjangkit sehingga ke generasi paling muda dan ianya akan berterusan sekiranya tiada perubahan dalam sistem pelajaran.

Memang tidak dinafikan, sekolah satu aliran bukannya jawapan kepada perpaduan, malah mungkin akan menjadikan keadaan lebih huru-hara. Baik buruk sesuatu tindakan sebenarnya berdasarkan kesedaran rakyat pelbagai kaum. Kesedaran tentang kepentingan perpaduan. Tidak ada gunanya sekiranya hanya Perdana Menteri yang beria-ia hendak mewujudkan perpaduan, sedangkan rakyat tidak inginpun bersatu atau berpadu dengan kaum bukan sejenis. Kaum dan agama yang sama pun banyak yang berpecah belah, manakan pula nak gabungkan semua. Rakyat negara Thailand yang satu kaum, satu agama, satu aliran sekolah pun boleh berpecah dan saling membunuh sesama sendiri.

Langkah pertama untuk mencapai perpaduan adalah menyemai kesedaran dan cita-cita yang sama kepada rakyat terutamanya generasi termuda. Pastikan kita semua memahami apakah erti sebenar perpaduan.

Tetapi bagi pendapat peribadi saya, semakin bertambah populasi manusia, semakin bertambah perpecahan, kerana setiap manusia masing-masing dikurniakan dengan sebiji otak yang tidak sama modelnya, ini menyebabkan pendirian manusia yang pelbagai, kreativiti manusia yang sentiasa baru, akhirnya manusia akan hidup keseorangan dengan cara dan budaya tersendiri, menjadikan semakin pelbagailah latar belakang setiap manusia di bumi ini.

Thursday, October 22, 2009

PROF KHOO KAY KIM kata hanya sekolah satu aliran boleh capai matlamat 1Malaysia

Oktober 22, 2009

BUKIT MERTAJAM: Sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai, kata tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Katanya, sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.

"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wacana "One Malaysia: Cabaran dan Harapan" sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Namun begitu, beliau menjangkakan ada pihak yang akan membantah cadangan itu tetapi mereka yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa. Mengimbau kembali sejarah terbentuknya sekolah pelbagai aliran di negara ini, Prof Khoo Kay Kim berkata, mengikut sejarah, British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak mempunyai niat untuk menetap di negara ini.

"Jadi, British membenarkan mereka membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing supaya mereka dapat belajar mengenai negara sendiri. "Bagaimanapun, sistem ini tidak lagi perlu diteruskan sekarang kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia dan perlu dididik supaya menerima negara ini dan masyarakat berbilang kaum yang ada di sini sebagai sebahagian daripada diri mereka," katanya lagi.

Khoo juga berkata, kebanyakan rakyat negara ini tidak tahu dan tidak memahami sejarah negara sehingga menyebabkan mereka berfikiran secara sempit.

Menurutnya, ada segelintir ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda masing-masing berbanding matlamat utama negara bangsa.

"Ada ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi lebih kepada agenda sendiri," katanya.